Koperasi JPJ Negeri Pahang Sumbang RM3,021 untuk Palestin
Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-8 Koperasi JPJ Negeri Pahang Berhad telah diadakan pada 25 November 2023.
Mesyuarat yang diadakan di Dewan Utama, Mahkota Golf & Country Club (MGCC) KM 13, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang mencatatkan kehadiran seramai 132 orang anggota koperasi.
Dalam sesi MAT kali ini, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa Ahli Lembaga Koperasi sebulat suara bersetuju untuk menaikkan had keterhutangan koperasi sehingga RM15 juta. Ini bagi meningkatkan upaya koperasi dalam merebut peluang mendapatkan kontrak dan perolehan aset untuk mengembangkan perniagaan dalam skala yang lebih besar.
Usul berkaitan telah dicadangkan oleh Encik Nik Mohd Kohar Nik Mahmod berhubung dengan pindaan Perkara 9(1)(a) UKK (pembekalan peruncitan bahan-bahan keperluan) serta Encik Zakri Mohd Noor yang mendapat sokongan majoriti.
Turut diumum, sebanyak RM5,286.97 dividen untuk diagihkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.
Bagi memastikan koperasi sentiasa membantu anggotanya, mesyuarat bersetuju supaya koperasi membeli beberapa lot rumah di kawasan strategik dan kritikal untuk disewakan kepada kakitangan JPJ yang memerlukan. Usul yang dicadangkan oleh oleh Encik Rahim Ismail berkenaan disokong sebulat suara.
Bagi menterjemahkan solidariti atas pendudukan Zionis di Palestin, Koperasi JPJ Negeri Pahang Berhad telah memberikan sumbangan sebanyak RM2,000 dan kutipan anggota koperasi sebanyak RM1,021 menjadikan nilai sumbangan RM3,021. Sumbangan berkenaan akan diserahkan kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang untuk urusan penyaluran.
Turut hadir ialah Puan Norhayati Muhammad selaku pemerhati dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Mesyuarat ditangguhkan pada jam 2.00 petang untuk diangkat dalam MAT akan datang.